setting

PR0$aCKSBLoG$: Takziah Buat Steve Jobs

Takziah Buat Steve Jobs






Tentunya satu kehilangan besar buat dunia IT. Steve Jobs, pengasas Apple Inc., telah meninggal dunia kira-kira jam 7 pagi waktu tempatan. Beliau berusia 56 tahun. Sebelum ini, beliau telah mengejutkan dunia dengan mengumumkan perletakan jawatan sebagai CEO Apple dan mengumumkan Tim Cook sebagai CEO Apple yang terbaru bagi menggantikan tempatnya.

Pada 5 Oktober 2011, Tim Cook telah merasmikan iPhone 4s. Steve Jobs bagaikan bertarung nyawa bagi membolehkan beliau sempat melihat produk terakhirnya sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Kematian beliau membuatkan ramai orang, baik peminat mahupun mereka yang membenci dirinya, sedih.

Beliau merupakan seorang yang tiada tolok bandingnya di dalam dunia IT dan melonjakkan nama Apple sebagai satu jenama yang menjadi kegilaan dan ancaman buat syarikat IT yang lain, terutamanya Microsoft. Walaupun beliau selalu dianggap sebagai diktator dan mempunyai strategi yang agresif dalam banyak keputusan, beliau tetap dianggap sebagai inovator dan pemikir yang mengubah hala tuju teknologi komputer secara umum.

Kehadiran semula beliau di dalam Apple pada tahun 1997 mengubah satu syarikat yang hampir muflis kepada sebuah syarikat yang besar dan mampu menyaingi Microsoft. Malah, jumlah saham Apple dikatakan lebih besar berbanding Microsoft.

Antara produk beliau yang mencetuskan revolusi teknologi adalah iPod, iMac, iTunes, iPhone, dan iPad. Saban tahun, jutaan peminat gadget dan teknologi akan menantikan beliau memberi ucapan semasa Keynote Apple berlangsung. Ratusan blog teknologi juga akan membuat liputan besar-besaran.

Walaupun kebanyakan orang membenci beliau, kita tidak boleh menafikan bahawa kebanyakan gadget yang telah berada di pasaran ataupun yang masih dalam proses pembinaan, adalah diilhamkan dari ciptaan-ciptaan beliau. Sebelum ini, telefon pintar adalah telefon yang tebal, tidak menarik dan menggunakan skrin sesentuh yang memerlukan stylus. Tablet PC adalah PC yang dijana dengan Windows, tebal, lembab serta berat. Pemain MP3 juga adalah satu gadget yang langsung tidak menarik.

Kehadiran beliau dalam dunia IT membuatkan banyak syarikat sedar bahawa apa yang penting di dalam sebuah gadget adalah mesra pengguna serta rekaan yang cantik. Maka dengan itu, banyaklah syarikat yang cuba untuk meniru cara Apple. Namun apabila usaha peniruan itu gagal, syarikat-syarikat ini gagal untuk memperoleh sesuatu yang bagus. Sebab itulah syarikat-syarikat ini terpaksa berfikir cara lain, atau "Think Different", motto yang digunakan sejak sekian lama. Hanya dengan cara inilah syarikat-syarikat ini dapat menyaingi Apple dan cuba menghasilkan beberapa produk inovatif yang tidak meniru Apple bulat-bulat, tetapi cuba untuk mempunyai identiti sendiri serta dapat menyaingi produk-produk Apple.

Tanpa daya pemikiran Steve Jobs yang inovatif, maka produk-produk masa kini seperti Android OS, Windows Phone 7 serta WebOS tidak akan sama seperti keadaan sekarang.

Sebanyak manapun kita benci kepada beliau, namun kita harus menghormati salah seorang insan yang paling berpengaruh dalam dunia IT.

Takziah buat Steve Jobs.

-Syah Indra-

1 ulasan :

Copyright © PR0$aCKSBLoG$ MiNH Solution