setting

PR0$aCKSBLoG$: 8 DiSeMBeR

8 DiSeMBeR

Pada 8 Disember, 1941, Presiden Amerika Syarikat, Franklin D. Roosevelt meminta Kongres mengisytiharkan perang terhadap Jepun. Katanya melalui ucapannya:

"Yesterday, December 7, 1941 - a date which will live in infamy - the United States of America was suddenly and deliberately attacked by naval and air forces of the Empire of Japan."

Selepas ucapan ini dilakukan, Kongres dengan sebulat suara mengambil keputusan untuk mengisytiharkan perang terhadap Jepun. Amerika Syarikat secara rasminya menyertai Perang Dunia Kedua.

Pada awal pagi pada tarikh yang sama, pihak tentera Jepun mendarat di Kota Bahru, Kelantan.

Seawal-awal pagi 8 Disember 1941, mereka yang tercedera akibat pengeboman pihak tentera Jepun di Singapura datang berduyun-duyun ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut...

Pada pagi itu, sebaik sahaja Kamarul pulang ke asramanya, dia telah diminta untuk melaporkan dirinya ke Hospital Besar Singapura. Tanpa banyak soal, Kamarul terus menunaikan tanggungjawabnya sebagai ahli sukarelawan MAS.

Kamarul ditugaskan di Blok C Hospital Besar Singapura. Ketika itulah buat pertama kalinya Kamarul dapat melihat sendiri kesengsaraan yang menimpa mereka yang menjadi mangsa perang.

Kamarul dapat melihat ramai pesakit yang telah kehilangan bahagian tubuh badan. Ramai yang tercedera akibat terkena serpihan bom serta runtuhan bangunan. Ada yang sedang berada dalam keadaan terkejut. Ada juga yang merintih kesakitan meminta bantuan agar diri mereka dirawat.

Kamarul seboleh-bolehnya melakukan apa yang terdaya olehnya untuk mengubati mereka yang tercedera. Ada kalanya bantuan yang dilakukannya langsung tidak dapat membantu. Seorang wanita tua mati di hadapannya tatkala dia cuba merawat luka yang parah di bahagian kepalanya.

Sememangnya perkara ini mengejutkan dirinya. Buat seketika dia berada di dalam keadaan murung, langsung dia tidak mampu melakukan apa-apa kecuali berdiri kaku, sehinggalah dia ditegur oleh seniornya Joseph yang mengatakan jika dia tidak dapat menghadapi tekanan seperti ini, lebih baik dia matikan sahaja cita-citanya untuk menjadi doktor...

Kata-kata keras dari Joseph sememangnya menyakitkan, tetapi kata-kata itu telah dijadikannya satu iktibar untuk bekerja dengan lebih keras lagi.

Pada hari itu, Kamarul langsung tidak mempunyai masa untuk berehat. Sehari suntuk dia terpaksa membantu mangsa-mangsa perang yang telah dihantar ke Block C. Hari itu terlalu panjang baginya dan bagi semua yang telah ditugaskan di hospital...

"Bang, ada bandage?" tanya seorang remaja lelaki di belakangnya. Kamarul menoleh memandangnya. Dia dapati remaja Melayu itu sedang berdiri di belakangnya, langsung tidak berganjak dari kedudukannya. Dia akan terus menunggu di situ sehingga Kamarul memberi apa yang dimahukannya.

"Untuk apa?" tanya Kamarul dengan suara yang keras. Dia sedang sibuk menjahit luka seorang lelaki cina yang luka pada bahagian kepalanya.

"Untuk balut luka..."

"Luka siapa?"

"Luka saya." Dia menunjukkan bahagian lengannya yang telah dibalut tetapi kelihatan merah dibasahi darah.

"Siapa nama kau?"

"Muhammad Yusup."

"Mana kau dapat luka tu?"

"Ketika saya sedang bertugas di Tanjong Pagar Road... Saya cuba tolong Encik Tan keluar rumah kedainya yang musnah terkena bom. Saya terjatuh. Lengan saya ni terkena serpihan kaca."

"Siapa Encik Tan?"

"Saya Encik Tan!" sahut lelaki yang kepalanya sedang dijahit Kamarul.

Kamarul tersenyum. Buat pertama kali pada hari itu dia tersenyum. Kemudian dengan pantas dia memandang ke arah topi besi yang dipakai Yusup.

Yusup juga seorang sukarelawan sepertinya. Sukarelawan seperti Yusup diberikan tugas untuk menolong mereka yang tercedera di tempat-tempat yang telah dibom Jepun. Sebagai sukarelawan MAS yang telah ditugaskan di kawasan darurat, dia hanya diberikan topi besi, lencana palang merah yang perlu dipakai di lengannya dan $60 elaun bulanan.

Apabila Kamarul selesai menjahit kepala Encik Tan, dia meminta Yusup duduk di hadapannya. Dia cepat-cepat membuka balutan di lengan Yusup. Dia mendapati lukanya itu terlalu dalam. Kamarul perlu menjahit luka Yusup secepat mungkin sebelum dia kehilangan lebih banyak darah.

"Kau masih bersekolah lagi, bukan?" tanya Kamarul ketika dia membasuh luka Yusup.

"Ya."

"Di mana?"

"Raffles Institution."

"Kau akan mengambil peperiksaan Senior Cambridge kau pada tahun hadapan?" Kamarul cuba meneka. Sesekali dia akan memandang suasana bilik hospital yang kelihatan kucar kacir itu. Masih terdapat ramai lagi para pesakit yang sedang menunggu dirawat.

"Ya..."

"Bila kau selesai ambil Senior Cambridge nanti, kau nak buat apa?"

"Saya nak jadi macam abang?"

"Jadi macam aku?"

"Jadi pelajar perubatan macam abang..." kata Yusup sambil memandang ke arah lencana MAS dari unit Kolej Perubatan King Edward VII yang sedang dipakai Kamarul pada lengannya.

Sekali lagi Kamarul tersenyum dibuatnya. Dengan pantas dia merasa selesa melayani Yusup yang peramah itu. Semasa dia membersihkan luka serta tatkala dia menjahit luka di lengan Yusup, tidak sekalipun Yusup mengeluh kesakitan. Mulutnya terlalu sibuk berbual serta menjawab segala pertanyaan dari Kamarul tentang dirinya.

Sejurus selepas dia selesai membalut luka di lengan Yusup, Kamarul terus memandang jam di dinding. Jam menunjukkan pukul 11 malam. Dia melepaskan nafasnya. Waktu kerjanya sudah selesai. Dia boleh pulang ke asramanya.

"Kau mahu ke mana selepas ini?" tanya Kamarul kepada Yusup ketika dia sedang membasuh tangannya di singki berdekatan.

"Saya terpaksa cari tempat untuk berehat di sini sebelum saya boleh pulang ke pos saya di Beach Road awal pagi esok... Susah nak cari kenderaan untuk ke sana sekarang ni." Jelas Yusup dengan suara bersahaja. Tangan kirinya yang tidak tercedera itu digunakan untuk menyuak rambutnya.

"Apa kata kau tidur saja dalam bilik aku. Lagipun ada dua tiga orang kawan aku yang akan buat shif malam." Kamarul menyarankan. Dia ikhlas mahu menolong. Lagipun dia tidak sampai hati melihat Yusup merayau seperti kutu jalan di dalam kawasan hospital ini.

Yusup mengangguk pantas. Dia terus mengekori Kamarul berjalan keluar dari Blok C lalu ke bangunan Asrama FMS. Yusup tidak pernah di bawa ke kawasan ini. Matanya rambang memerhatikan bangunan Kolej Perubatan King Edward VII yang nampak gah walaupun di dalam gelap. Lampu-lampu yang biasanya dibuka terpaksa ditutup di dalam langkah berjaga-jaga di dalam masa darurat seperti ini.

"Kenapa kau nak jadi doktor?" tanya Kamarul sewaktu dia berjalan menaiki bukit kecil untuk ke asramanya.

"Kerana saya nak tolong orang sakit." Kamarul menoleh ke arahnya. Walaupun keadaan terlalu gelap pada malam itu, dan dia hanya dapat mendengar nada suara Yusup tanpa dapat melihat raut wajahnya dengan jelas, Kamarul yakin bahawa Yusup telah menjawab soalannya tadi jujur...

Pada 10 Disember 1941, dua buah kapal perang kebanggaan tentera laut British dari Force Z; HMS Repulse dan Prince of Wales berjaya ditenggelamkan oleh pihak tentera Jepun di perairan Laut China Selatan berdekatan dengan Kuantan. Kejayaan tentera Jepun menenggelamkan kedua-dua kapal perang British ini berjaya melemahkan semangat juang tentera British. Penduduk-penduduk tempatan mula sedar Empayar British bukanlah satu kuasa kebal yang mampu menangkis sebuah kuasa dari Asia seperti Jepun. Tentera Jepun yang dipandang rendah oleh mereka dan dianggap lemah, membuktikan sebaliknya...

Sehari selepas kejadian ini berlaku, Kamarul terpaksa berhadapan dengan mangsa-mangsa lecur dari kedua-dua buah kapal perang yang telah dimusnahkan Jepun ini. Alexandra Barracks Hospital tidak dapat menampung jumlah mereka yang terlalu ramai mereka, lantas ramai pesakit yang terpaksa dirawat di Hospital Besar Singapura.

Keadaan di Hospital Besar Singapura semakin sesak. Katil lipat atau 'camp beds' yang sering digunakan oleh pihak tentera di letakkan di antara katil-katil yang ada di hospital, di koridor dan di hampir setiap inci bahagian hospital. Pada saat-saat paling genting sebelum British menyerah kalah, terdapat lebih 10,000 pesakit yang terlantar di hospital yang hanya mampu memuatkan 1,000 pesakit dalam satu-satu masa ini.

Tidak terdapat sebarang pengeboman dilakukan di Singapura sehinggalah pada penghujung bulan Disember. Di dalam masa-masanya yang terluang inilah, ketika diberikan cuti rehat, Kamarul telah dijemput Yusup supaya makan malam dengan keluarganya di Serangoon Road, kerana kebetulan mereka diberikan cuti pada hari yang sama...

Kamarul mendapati Yusup menetap di kawasan perumahan yang menempatkan keluarga yang mewah kedudukannya. Rumahnya terletak agak berdekatan dengan Alkaff Garden, sebuah taman yang sering dikunjungi oleh mereka yang mahu berkelah. Taman ini hilang serinya apabila ia kelihatan kosong dan terbiar dalam masa-masa darurat seperti ini.

"Bang... Tunggu sebentar ya?" ujar Yusup tatkala mereka sedang berjalan ke arah rumahnya. Yusup berjalan mendekati pintu pagar sebuah rumah banglo yang agak besar.

"Wak!" dengan suara yang perlahan Yusup memanggil seorang tukang kebun yang sedang membawa segumpalan tanah yang diletakkan ke dalam bakul lalu dilonggokkan ke dalam satu sudut di dalam taman. Kamarul dengan cepat dapat meneka bahawa tukang kebun itu sedang sibuk membina sebuah shelter untuk keluarga yang mendiami banglo ini.

Yusup menyerahkan sepucuk surat yang telah disimpannya kepada tukang kebun tersebut. Kemudian dia berjalan mendapatkan Kamarul.

Ketika Kamarul menjenguk ke dalam rumah, dia dapat melihat seorang gadis yang seusia dengan Margaret sedang memerhatikannya dari arah tingkap banglonya. Gadis itu mempunyai wajah yang jelita, cukup sesuai gamaknya jika dipadankan dengan Yusup yang boleh tahan juga orangnya - jika tidak, bagaimana gadis yang ayu seperti Salina boleh terpikat dengan anak muda seperti Yusup?

Salina tersenyum-senyum sebelum kelibatnya hilang ke dalam rumah.

"Mata air kau?" tanya Kamarul ingin tahu.

Yusup tidak menjawab. Dia hanya tersenyum malu.

"Siapa namanya?".

"Siti Salina... Dia penuntut Raffles Girls... Bapanya mahu dia jadi seorang doktor." Jawab Yusup satu persatu walaupun jawapan-jawapan yang lainnya tidak ditanya Kamarul. Walaupun begitu, Kamarul dapati bapa Salina menaruh harapan yang besar terhadap anak gadisnya itu, kerana sehingga kini, Kamarul tidak pernah bertemu dengan sebarang doktor wanita berbangsa Melayu...

"Jadi kau selalu bertemu dengannya?"

"Tidak... Bapak dia tidak benarkan dia jumpa dengan sesiapa, termasuk saya. Dia dikurung di dalam rumahnya itu." Yusup menjelaskan. Seorang budak lelaki yang sedang berjalan di tepi jalan dengan pakaian kotor setelah puas bermain dengan rakan-rakannya menyapanya sebelum dia masuk ke dalam rumah Salina. "Itu Wan Abdul Karim... Adik kesayangan Salina."

"Dah lama kau kenal dengan Salina?" tanya Kamarul bertubi-tubi

"Sudah dua tiga tahun saya mengenalinya." Ujar Yusup. Dia kemudian membuka pintu pagar sebuah rumah yang letaknya selang tiga buah rumah dari rumah Salina.

Pada malam itu, setelah makan malam dengan keluarga Yusup, maka diketahui Kamarul bahawa Yusup memang sayangkan kepada Salina walaupun hubungan mereka hanya terhad kepada balasan surat-menyurat dan pandang memandang. Yusup hanya pernah bersemuka dengan Salina sekali sahaja, itu pun apabila bapanya, seorang saudagar intan berlian itu ke Pulau Piang kerana urusan perniagaan.

"Pada waktu itu kami bertemu secara sulit di belakang kebunnya. Lama juga kami berbual walaupun Salina banyak diam." Ketika bercerita, di anjung rumahnya itu, Yusup nampak terganggu. Dia tertunduk sambil mengeluh lesu sebelum dia menambah lagi: "Ketika kami sedang seronok berbual, tukang kebunnya terserempak dengan kami..."

"Jadi apa yang telah berlaku seterusnya?" tanya Kamarul. Suasana malam di kawasan perumahan Yusup agak sunyi. Lampu jalan langsung tidak dihidupkan.

"Bapa Salina akhirnya dapat tahu tentang pertemuan sulit kami... Dia dipukul seteruk-teruknya. Tetapi hubungan kami tidak putus. Saya sering hantar surat melalui tukang kebunnya atau melalui Karim agar dia tahu perkembangan hidup saya." Kata Yusup dengan garis-garis harapan terlukis di wajahnya. Dia berpaling ke arah tempat tinggal Salina. Dia tahu Salina sedang berada di situ dengan keluarganya, tetapi dia tidak dapat melakukan apa-apa sekalipun untuk bersemuka dengannya lantas menghilangkan rasa rindunya itu kepadanya.

"Apa yang kau tuliskan kepadanya tadi?" tanya Kamarul ingin tahu.

"Tentang perang... Saya beritahu kepadanya peperangan membawa kesan yang tak baik sahaja, Ia meragut segala." Sahut Yusup dengan wajah sugul. "Bang... Saya tak sangka perang ini kejam. Bila Jepun mula-mula mengebom Singapura, banyak mayat yang saya temui... Ada di antaranya dah tak nampak macam mayat manusia lagi.

"Perang merampas segala-galanya." Yusup sekali lagi mengulangi kalimah ini.

Kata-kata Yusup terngiang-ngiang di dalam kepala Kamarul. Sesungguhnya dia sendiri dapat melihat kekejaman yang dibawa oleh perang dengan mata kepalanya sendiri di hospital. Dia sudah tidak dapat mengira berapa orang pesakit yang mati di hadapannya hampir setiap hari.

"Bang... Tidak lama lagi saya rasa saya tak perlu berulang-alik ke hospital lagi untuk membawa pesakit." Yusup memberitahu dengan wajah yang kosong.

"Kenapa?" Kamarul segera bertanya. Dahinya terkerut dibuatnya.

"Saya dengar khabar, pasukan volunteer kami akan di hantar ke tempat lain..."

"Ke mana?"

"Saya tak tahu lagi... Saya dengar cerita kami akan dilatih untuk menggunakan senjata, tidak lagi buat kerja-kerja mengikat bandage dan merawat luka seperti kebiasaannya. Entahlah, saya tak tahu. Saya harap ini khabar-khabar angin sahaja!"

Perkhabaran ini sememangnya mengejutkan Kamarul. Walaupun Yusup berusia setahun lebih muda darinya, dia tetap tidak dapat membayangkan Yusup terpaksa mengangkat senjata untuk berjuang mempertahankan Singapura. Usianya masih belum cukup matang untuk ini semua, fikirnya di dalam hati.

"Jika benarlah nanti saya terpaksa mengangkat senjata... saya terpaksa membunuh musuh saya... Musuh yang saya bunuh itu pasti ada orang yang disayanginya. Dia pasti ada kekasih seperti saya. Dan apabila saya dibunuh nanti, adakah musuh saya itu pernah terfikir saya juga mempunyai seorang kekasih yang saya sayangi?"

"Dah... kau jangan fikir yang bukan-bukan pula. Aku tak suka tengok kau merepek macam ni!" sela Kamarul sambil berdecit. Sejak dia mengenali Yusup tak sampai sebulan, dia tidak pernah mendengar Yusup berkata yang bukan-bukan. Tetapi hari ini lain pula jadinya.

"Bang... Saya bencikan peperangan!" kata Yusup setelah lama dia membiarkan kesunyian menjerat keadaan.

"Orang gila sahaja yang sukakan peperangan, Yusup." Kamarul menghela nafasnya dalam-dalam.

"Bang... Sekiranya saya mati dalam peperangan ini, saya harapkan Salina akan mengerti saya tak akan lupakannya sampai bila-bila, kerana dirinya itu akan sentiasa ada di dalam hati saya." kata Yusup tersekat-sekat. Kamarul yakin Yusup sedang menangis di dalam diamnya, walaupun dia tidak dapat melihatnya dengan jelas di dalam keadaan malam yang gelap itu.

"Kalau dia betul-betul sayangkan kau... Dia tak akan lupakan kau sampai bila-bila... Percayalah." Ujar Kamarul. Buat seketika, dia sendiri terkejut apabila mendengarkan kata-kata nasihat ini terpacul dari mulutnya. Tapi dia akur, mungkin apa yang dikatakannya itu ada kebenarannya. Jika Salina betul-betul sayangkan Muhammad Yusup, sampai bila-bila pun dia akan terus mengingatinya...

2 ulasan :

  1. kalau salina ilang ingat mcm ne?
    ad kah die akn ingat lg?
    hehe..

    BalasPadam
  2. ntah..no komen..hati owang..sape y tau....kalau kamu camna??(^_^)

    BalasPadam

Copyright © PR0$aCKSBLoG$ MiNH Solution